Friday, February 22, 2008

Rebung Goreng Beraroma

Rebung


Rebung ialah anak pokok buluh. Bapa saudara saya memberitahu rebung biasanya muncul ketika pokok-pokok durian berputik. Jadi kalau dalam setahun terjadi dua kali pokok-pokok durian berbunga di kawasan tertentu, rebung juga muncul ketika itu.


Kebanyakan orang-orang kampung dan yang tinggal di kawasan pendalaman mahir mengenalpasti spesis atau jenis pokok buluh yang menghasilkan rebung yang baik dan lazat apabila dimasak.


Rebung ialah salah satu jenis sayur-sayuran kegemaran saya. Di Kuala Lumpur agak sukar untuk mendapatkan rebung yang belum diproses. Di sini biasanya rebung dijual dalam bentuk hirisan, direndam dalam air yang mengandungi bahan awet Sodium Benzoate.


Pelbagai jenis masakan


Selain masak lemak rebung yang sudah direbus boleh digoreng. Antara resepi yang boleh dicuba ialah goreng cili api dan kari. Pada pandangan saya anda bebas mencipta sebarang resepi dan menikmatinya pada bila-bila masa.


Di Bangkok terdapat pelbagai jenis masakan rebung. Antara lain ia dimasak lemak dengan cili api masak. Cili di Thailand jauh lebih pedas dari yang terdapat di Malaysia.


Di sana saya pernah makan rebung yang digoreng dengan daging lembu. Masakannya pekat dan bercili tetapi sungguh lazat. Di Bangkok juga rebung dimasukkan ke dalam masakan ikan asam rebus. Asam rebus ialah masakan jenis rebusan menggunakan bawang, bawang putih, sedikit halia atau lengkuas, cili api masak, asam jawa, dan sedikti garam. Ikan yang biasa digunakan ialah jenis ikan kerisi dan ikan bilis segar bersaiz besar.


Anda boleh cuba menyediakan masakan bergoreng terdiri dari rebung yang telah direbus dengan hirisan petai yang digoreng garing. Ikan bilis tumbuk, udang, daging dan ayam juga boleh dimasukkan. Daun kesum, daun selasih Thai, atau daun Belinjau (Malinjau/Malinjo) juga boleh dimasukkan.


Berikut ialah resepi yang anda boleh cuba sendiri:


Rebung Goreng Beraroma


200 gram hirisan rebung muda (direbus)

200 gram daging lembu (yang telah direbus hingga empuk dan dihiris nipis)

5 biji cili api dititik

3 sudu besar minyak sawit

1 sudu besar asam jawa (dilarutkan dengan ½ cawan air)

6 sudu besar kicap manis

½ sudu teh garam gunung Himalaya

5 daun bawang (dipotong panjang-panjang)

5 helai daun limau purut muda (dihiris nipis)

2 pelepah daun ketumbar (dihiris)


Cara menyediakannya:


Panaskan minyak masak. Dengan suhu tinggi masukkan daging, rebung, cili api, kacau selama ½ minit. Masukkan kicap dan kacau sebentar. Masukkan asam jawa dan garam dan kacau. Gunakan api sederhana dan biarkan selama 1 minit. Kacau dan masukkan hirisan daun limau purut dan daun ketumbar. Hidangkan panas-panas.


Hidangan ini untuk 4-5 orang.


Perawatan tradisional


Isi rebung berwarna krim, rasanya manis kepahitan.


Dalam perubatan tradisional China ia mempunyai afiniti terhadap paru-paru. Itulah sebabnya ia sesuai digunakan untuk meredakan demam selsema dan batuk berkahak.


Ia juga boleh digunakan untuk meredakan buasir. Caranya ialah dengan merendam 500 gram hirisan rebung dengan 3 cawan air. Tambah 2-3 sudu besar cuka epal dan disimpan semalaman dalam peti ais. Keesokan hari tambah 3 cawan air dan rebus dengan 100 gram isi ayam kampung hingga empuk. Minum antara 1-2 sudu setiap kali, 3 X sehari selama 3 hari berturut-turut.


Rebung juga dikatakan dapat meredakan paras gula darah. Rebus 100 gram hirisan rebung dengan 4 cawan air hingga air berkurang kepada separuh. Air rebusan dibahagi 2. Minum 1 bahagian setiap kali, 2 X sehari. Kulit jambu bol dan kulit pokok petai belalang juga boleh digabungkan bersama.


Herbalis Bahrain MH
www.resepicikguherba.blogspot.com





1 comment:

infogue said...

Artikel di blog ini menarik & bagus. Untuk lebih mempopulerkan artikel (berita/video/ foto) ini, Anda bisa mempromosikan di infoGue.com yang akan berguna bagi semua pembaca di tanah air. Telah tersedia plugin / widget kirim artikel & vote yang ter-integrasi dengan instalasi mudah & singkat. Salam Blogger!
http://www.infogue.com
http://kuliner.infogue.com/rebung_goreng_beraroma